| HOME | Era FM | Sinar FM | THR GEGAR | Best 104 | Red FM | Manis FM | IKIM FM | Suria FM | Hitz FM | Xfresh FM | Klasik FM | Muzik FM | Rilek FM |

TV Al- Hijrah di Astro 114



TANGGAL 1 Jun lalu, TV AlHijrah (TVAH) mula menemui penonton seluruh negara di Saluran 114 Astro. Menerusi spektrum penyiaran itu, tiada alasan lagi untuk program disediakan TVAH gagal ditonton lapisan masyarakat.

Jika enam bulan lalu, hanya sekitar Terengganu, Pahang, Lembah Klang, Utara Johor, Sabah dan Sarawak saja yang boleh menonton TVAH. Namun kini segala kekangan penyiaran sudah berakhir apabila Astro sudi menjalin kerjasama.
Lebih menarik lagi apabila produksi tempatan yang menerbitkan drama untuk TVAH perlu mengikut garis panduan Islamik ditetapkan pihak stesen itu. Antaranya, tiada adegan bersentuhan antara pelakon lelaki dan wanita yang bukan muhrim selain perlu menutup aurat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ketika ditemui selepas program Istimewa Segalanya Bermula Di Sini yang disiarkan secara langsung sempena malam pertama TVAH ke udara di Astro, berkata menjadi objektif TVAH menyampaikan syariah Islam.


“Selain radio IKIM FM, penubuhan TVAH ini adalah tindakan tepat untuk membantu menyampaikan syariah Islam kepada penonton. Di bawah saya, terdapat puluhan agensi berkaitan agama diuruskan dan media seperti TV perlu sebagai medan menyalurkan maklumat.


“Umpamanya berkaitan zakat, barangkali masih ramai kurang faham mengenainya. Malah, ada juga yang tidak tahu ke mana hala tuju duit zakat itu disalurkan. Justeru, dengan adanya stesen TVAH, segala kemusykilan berkaitan agama terjawab menerusi program disediakan,” katanya.

Menurut Jamil Khir lagi, garis panduan ditetapkan untuk penghasilan drama pula adalah cabaran kepada penerbit tempatan melaksanakannya. Apa yang pasti, mesej positif dapat disampaikan secara kreatif dan berkesan untuk menarik masyarakat ke arah kebaikan.

“Seiring dengan slogan TVAH, Segalanya Bermula Di Sini menjadi tanggungjawab kami menyediakan program ilmiah untuk penonton. Tidak dinafikan, pada mulanya memang garis panduan ini membebankan produser tetapi kesannya sangat baik.

“Ia syarat wajar ditetapkan. Bagaimanapun, usia kedewasaan kami yang baru enam bulan, mungkin ada terlepas pandang juga. Namun kami tidak akan sesekali meminggirkan hal-hal sensitif yang boleh menjadi isu,” katanya.

Dihoskan Syafiq, Zulkifli, Mohd Amin Idris dan Irma Hasmie, program dua jam bermula 9 malam itu turut dijayakan kumpulan Al Mawlid, Mustaffa Daood dari kumpulan Debu, Studio Muallaf & Friends, Eirma Fatimah dan Wan Hasliza Wan Kamaruddin.

Sekalipun memiliki konsep tersendiri, TVAH tidak meminggirkan program hiburan asalkan menerapkan nilai murni. Malah, sebagai pengenalan TVAH akan menerbitkan rancangan realiti untuk wanita, Solehah, September nanti.

Apapun, jelas Jamil Khir, beliau tidak mahu penonton mengaitkan TVAH sebagai stesen TV Islamik yang cenderung menyiarkan ceramah agama atau azan semata-mata tetapi biarlah ia menjadi medan pembentukan sahsiah.

“Secara tidak langsung ia meliputi semua golongan iaitu kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Menerusi konsep diperkenalkan ini, tentunya mendatangkan cabaran kepada TVAH kerana kami tidak mahu dilihat pada skop yang kecil dan sempit,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Bukhari Che Muda yang turut memaklumkan stesen itu akan menayangkan semula beberapa drama terbaik program dokumentari dan majalah.

Total Pageviews

Followers